
Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Md Nasir Md Noh berkata, ia turut menyebabkan berlakunya banjir kilat di jalan utama pusat bandar Kuala Lumpur apabila kadar taburan hujan mencatat bacaan 120 milimeter.
“Aras air Sungai Gombak di Stesen Jalan Tun Razak dan Sungai Batu di Sentul dilaporkan melepasi aras bahaya, iaitu masing-masing 32.45 meter dan 34.03 meter.
“Banjir kilat menyebabkan kesesakan lalu lintas dan kerosakan beberapa kenderaan yang terperangkap di jalan-jalan utama.
“Dianggarkan lebih 50 rumah di Jalan Kassipilay, Jalan Batu Bata, Segambut Bahagia dan Segambut Dalam dimasuki air dengan kedalaman sehingga 0.3 meter,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Semalam, beberapa jalan utama di ibu kota terjejas antaranya Jalan Kuching, Jalan Tuanku Abdul Halim, Jalan Semantan, Jalan Segambut, Pintasan Segambut, Jalan Kinabalu (Bulatan Merdeka), Jalan Changkat Thambi Dollah, Lebuhraya Sultan Iskandar, Jalan Travers, Bulatan Dato Onn, Jalan Maarof Bangsar dan Jalan Merdeka.
Beliau berkata, semua infrastruktur sistem kawalan banjir di bawah JPS Wilayah Persekutuan beroperasi dengan baik mengikut prosedur operasi standard (SOP).
Tambahnya, lencongan Smart Mode 2 diaktifkan pada 3.40 petang manakala Lencongan Keroh dan Lencongan Gombak masing-masing diaktifkan pada 3.50 petang dan 4.12 petang.
“Penduduk kawasan rendah dinasihatkan untuk lebih berhati-hati dan sentiasa berjaga-jaga ketika hujan lebat. Orang ramai juga diminta sentiasa peka dengan bunyi siren amaran banjir bagi memantau keadaan cuaca.
“Sekiranya hujan lebat serta air laut pasang berlaku serentak, penduduk perlu bersedia untuk berpindah ke tempat selamat dan mematuhi arahan pihak berkuasa,” katanya.