
Shahrul Nizam Mohammad Shuhaimi, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan majistret A Hafiizh Abu Bakar.
Menurut pertuduhan pertama, tertuduh dengan niat melakukan khianat dengan melanggar bahagian hadapan sebelah kiri kereta polis yang menyebabkan kerugian RM1,200 di hadapan bangunan Toyota Seri Manjung antara 8.40 pagi hingga 9.40 pagi pada 4 Mei lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun atau tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, bapa kepada seorang anak itu didapati tidak memberi kerjasama serta menghalang penjawat awam yang sedang bertugas dengan sengaja tidak menghentikan kenderaan dan bertindak agresif untuk menghalang polis melakukan tangkapan di hadapan restoran Horizon Garden, Seri Manjung pada waktu dan tarikh sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman 18 bulan penjara bagi setiap pertuduhan yang dijalankan serentak mulai tarikh tangkapan, lapor Harian Metro.
Terdahulu, di mahkamah sama, Shahrul Nizam turut mengaku bersalah mengambil dadah jenis methamphetamine berdasarkan saringan awal air kencing di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung kira-kira 1.30 tengah hari 4 Mei lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 dan pengawasan polis tidak lebih tiga tahun, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 4 Julai ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia.
Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki melarikan isteri orang bersama kereta mangsa kerana takut suaminya yang disangkakan pengutip hutang, sebelum dikejar kereta peronda polis hingga merempuh sebuah kenderaan pihak berkuasa sebelum ditahan.