Eloklah bubar Umno, bukannya PAS, kata Tuan Ibrahim

Eloklah bubar Umno, bukannya PAS, kata Tuan Ibrahim

Ia susulan kenyataan Ahmad Maslan bahawa PAS boleh dibubarkan memandangkan Umno turut membawa wadah perjuangan Islam selepas meminda perlembagaan parti pada 2019.

Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Umno patut dibubarkan memandangkan dasar Islam sudah lama menjadi dasar PAS.
PETALING JAYA:
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, cadangan Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan supaya parti itu dibubarkan tidak akan menjadi kenyataan.

Sebaliknya beliau berkata, Umno patut dibubarkan memandangkan dasar Islam sudah lama menjadi dasar PAS.

“Jika benar ada cadangan seperti itu, eloklah Umno dibubarkan kerana dasar Islam sudah lama menjadi dasar PAS, jika asas itu yang Umno cadangkan, tetapi ia (bubar PAS) tentunya tidak akan menjadi kenyataan.

“Kita perlu hormati hak parti politik untuk bergerak dan terlibat dalam sistem demokrasi berparlimen Malaysia,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Menteri alam sekitar dan air itu berkata, paling penting sekarang ialah memperkukuhkan kerjasama politik antara satu sama lain.

Semalam, Ahmad dilaporkan berkata, PAS boleh dibubarkan memandangkan Umno turut membawa wadah perjuangan Islam selepas meminda perlembagaan parti itu pada 2019.

Katanya, Umno sudah meletakkan agenda mempertahan dan mendokong cita-cita Islam sebagai asas dan tujuan utama, berbanding hanya mendokong perjuangan kebangsaan Melayu.

“Saya ingin menyeru kepada PAS, bubarkanlah PAS, itu mesej penting, sampaikan kepada rakan, ramai orang Kelantan di sini, PAS utamanya di Kelantan.

“Baru-baru ini, mereka mahu berbaik dengan kita, kita rasa elok bubar, tengok perlembagaan Umno,” katanya menurut laporan Berita Harian semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.