Kabinet putus tarikh PRU15, bukan parti, kata PM

Kabinet putus tarikh PRU15, bukan parti, kata PM

Ismail Sabri Yaakob berkata partinya sedia maklum bahawa cadangan mengadakan pilihan raya umum akan dibawa ke Kabinet untuk diputuskan.

Perdana menteri yang juga naib presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob, berkata pindaan perlembagaan Umno hari ini, berkaitan pemilihan parti tidak mempengaruhi penentuan tarikh pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
PETALING JAYA:
Pindaan perlembagaan Umno berkaitan pemilihan parti tidak mempengaruhi penentuan tarikh pilihan raya umum ke-15 (PRU15) memandangkan ia perlu dibawa ke mesyuarat Kabinet, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

“Tarikh (PRU) itu ditetapkan oleh kerajaan dengan keputusan dari mesyuarat Kabinet. Kita akan bawa dalam Kabinet. Sementara parti berbeza dengan kerajaan.

“Parti pun tahu, kalau ada cadangan (untuk diadakan PRU) akan bawa ke Kabinet dan Kabinet yang memutuskan. Kalau pun Kabinet sudah memutuskan tarikh, Kabinet akan beri mandat kepada saya untuk berbincang dengan Yang di-Pertuan Agong,” katanya menurut laporan Berita Harian selepas menghadiri Perhimpunan Agung Umno (PAU) Khas, hari ini.

Ditanya dakwaan perlunya kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) terhadap pindaan itu, beliau berkata, terserah kepada agensi itu untuk menentukan keputusannya.

“Usul itu sudah diterima sebulat suara dan selepas ini Umno akan menulis surat kepada ROS untuk mendapatkan kelulusan. Itulah dari segi prosedurnya,” katanya yang juga naib presiden Umno.

“Kita tidak tahulah. Kita akan hantarlah permohonan itu untuk dapatkan kebenaran ROS terhadap pindaan itu. Kita tunggulah, kita pun tak tahu lagi,” katanya.

Katanya, Umno perlu menghantar surat pemakluman kepada ROS berkaitan keputusan PAU Khas hari ini, dalam tempoh 60 hari.

Ditanya sama ada PRU15 diadakan tahun ini, Ismail berkata:

“PRU kita tunggulah, kalau saya bagi tahu, maknanya semua sudah tahu awallah.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.