
Ia berhubung pendedahan bahawa loji sembelihan Thomas Foods International (TFI) Lobethal, Australia didakwa tidak mematuhi keperluan standard dan prosedur halal Malaysia.
Menurut Abdullah, beliau bersedia untuk bertemu dengan pegawai Jakim untuk memberikan maklumat sekiranya diminta berbuat demikian.
“Saya tak ada terima panggilan daripada pegawai Jakim. Memang ada ramai yang cuba menghubungi saya dan mengaku pegawai Jakim, tapi bila saya minta bukti mereka gagal tunjukkan,” katanya.
Tambah Abdullah, pendedahan yang dibuatnya adalah bagi memastikan orang Islam mendapat makanan yang halal.
“Saya turut diugut bunuh oleh individu tidak dikenali kerana ingin menegakkan kebenaran,” katanya yang muncul menerusi Google Meet dalam sidang media bersama Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini, hari ini.
Semalam, Menteri Agama Idris Ahmad memaklumkan bahawa Abdullah sudah memberi keterangan kepada pegawai atase halal Jakim di Australia bagaimanapun selepas itu lelaki berkenaan tidak dapat dikesan.
Sebelum ini media melaporkan, PPIM bersama Pekemas mendedahkan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) penyembelihan halal oleh TFI, yang mendapat kelulusan daripada Badan Induk Halal Jakim di Australia atau Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc (Sichma).
Sichma adalah organisasi Islam bukan berasaskan keuntungan yang berpangkalan di South Granville, New South Wales dan Queensland, Australia. Ia diiktiraf oleh organisasi keagamaan dan kerajaan dari seluruh dunia termasuk Jakim.
Setakat ini, Jakim sudah menggantung kelulusan loji sembelihan TFI, Australia berkuat kuasa serta merta, sehingga hasil siasatan yang menyeluruh diperolehi.
Sementara itu, Presiden Pekemas Faizan Mohd Nor turut menggesa Jakim menggantung lesen Sichma sehingga siasatan selesai dijalankan.
Menurut Faizan, Sichma dilihat gagal sebagai badan halal yang diiktiraf Jakim untuk memantau TFI serta cuba menutup salah laku rumah sembelihan di bawah seliaan mereka.
“Jelas dinyatakan dalam kenyataan media yang dikeluarkan Sichma bertarikh 12 April 2022 di mana mereka menyangkal dakwaan salah laku dan pelanggaran SOP halal di loji sembelihan yang berbeza (selain TFI).
“Jadi apabila terbukti TFI ini melanggar SOP, berapa banyak lagi loji sembelihan di bawah mereka yang turut melanggar SOP?” soalnya.