Syarikat rancang tutup ladang ayam 2 hari tak jejas bekalan, kata menteri

Syarikat rancang tutup ladang ayam 2 hari tak jejas bekalan, kata menteri

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Alexander Nanta Linggi berkata pihaknya telah menerima surat penjelasan daripada syarikat terbabit.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Alexander Nanta Linggi pada sidang media selepas pelancaran logo barang-barang subsidi dan barang kawalan di kementeriannya.
PUTRAJAYA:
Tindakan sebuah syarikat ternakan ayam di Melaka merancang menutup ladang ternakan selama dua hari bermula Sabtu ini tidak akan menjejaskan bekalan ayam di pasaran, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Alexander Nanta Linggi.

Katanya, alasan yang diberikan syarikat terbabit adalah kerana saiz ayam tidak menepati piawaian untuk dipasarkan.

“Kita telah terima surat penjelasan daripada syarikat yang dikatakan akan tutup ladang mereka. Jadi penjelasan mereka tidak menggambarkan ini sebagai kartel yang mahu ambil keuntungan berlebihan.

“Mereka tutup ladang dua hari dengan alasan biasanya ayam itu boleh membesar sehingga 1.8kg seekor tetapi mereka hanya beritahu beratnya hanya 1.1kg sahaja dan ia kecil. Mereka tidak mahu membekalkan ayam kecil kerana akan mengundang masalah dan dipersoal pengguna.

“Sebab itu mereka ingin tutup dahulu, tetapi bukan kekal tutup. Ia tidak akan jejaskan bekalan di pasaran,” katanya pada sidang media selepas pelancaran logo barang-barang subsidi dan barang kawalan di kementeriannya hari ini.

Terdahulu, media melaporkan sekumpulan pemain industri ternakan ayam didakwa merancang menutup ladang ternakan hujung minggu ini sebagai protes kepada kerajaan yang dikatakan lambat memberikan bayaran subsidi harga ayam sebanyak 60 sen.

Persekutuan Persatuan-persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) menyangkal dakwaan itu sambil menjelaskan ia adalah tindakan syarikat sendiri.

Sementara itu, Nanta berkata, pasukan yang ditubuhkan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) bagi menyiasat industri ayam dijangka membentangkan hasil siasatan lengkapnya pada Julai ini.

“MyCC telah buat kajian terperinci dan saya difahamkan ia akan mengambil sedikit masa lagi untuk dilengkapkan laporan.

“Harap bulan Julai nanti ada keputusan dan langkah tertentu untuk tangani masalah seperti kartel ayam,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.