
“Episod Zuraida ini adalah pengajaran bahawa pengkhianat tidak akan selamat dalam politik. Beliau kini tiada nilai,” katanya kepada FMT.
Zuraida, yang merupakan bekas naib presiden PKR, menyertai Bersatu selepas dipecat daripada parti pimpinan Anwar Ibrahim itu berikutan Langkah Sheraton pada 2020.
Saifuddin berkata, satu-satunya langkah yang masuk akal bagi Bersatu sekarang adalah meminta Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memecat Zuraida daripada Jemaah Menteri memandangkan jawatannya adalah berdasarkan kuota parti.
Beliau berkata, Ismail tidak mampu mengekalkan Zuraida dalam Jemaah Menteri kerana ia boleh menjejaskan sokongan Bersatu kepadanya.
Perdana menteri “tidak mampu melakukan sebarang kesilapan”, tambahnya.
Awal hari ini, Zuraida mengumumkan keluar daripada Bersatu untuk menyertai PBM yang baharu ditubuhkan dan berkata, beliau akan bertemu Ismail dalam masa terdekat untuk membincangkan peletakan jawatannya daripada Jemaah Menteri.
Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata, tindakan Zuraida itu mungkin membawa bencana kepada kerjaya politiknya dan beliau akan berdepan kesulitan untuk dipilih semula.
Namun begitu, beliau tidak terkejut dengan tindakan Zuraida.
Katanya, Zuraida diketepikan oleh rakan-rakan separtinya sehinggakan difahamkan beliau turut dikeluarkan daripada kumpulan WhatsApp kepimpinan Bersatu.
Sementara itu, Naib Presiden PKR Tian Chua berkata, pemergian Zuraida daripada Bersatu dijangka “dari awal”.
“Beliau tidak akan bertahan (lama lagi) dalam Bersatu,” katanya kepada FMT, merujuk kepada budaya dan hala tuju politik parti itu.
Beliau juga berkata, diketahui umum bahawa PBM adalah inisiatif Zuraida ketika parti itu dilancarkan dan beliau mempunyai kecenderungan politik yang berbeza berbanding Bersatu, iaitu sebuah parti Melayu-Islam.
Khabar angin bahawa Zuraida akan meninggalkan Bersatu untuk menyertai PBM bertiup kencang sejak akhir tahun lepas berikutan spekulasi bahawa bekas naib presiden PKR itu akan mengetuai parti yang kini diterajui oleh Ahli Parlimen Julau Larry Sng.