
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata surat dikeluarkan ahli Parlimen Ampang itu menyatakan beliau akan membincangkan perkara berkenaan dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Mengakui beliau sendiri belum meneliti surat berkenaan, Wan Junaidi berkata, Zuraida menyatakan akan membincangkan persoalan berhubung jawatannya, sama ada akan melepaskannya atau sebaliknya selepas bertemu perdana menteri.
“Persoalannya, orang boleh bincang dengan perdana menteri, macam mana kalau perdana menteri berkata “Zuraida tak payah lah nak ‘resign’ (letak jawatan) dulu…tunggulah.
“Kalau perdana menteri menasihatkan beliau begitu, mungkin beliau akan meneruskan jawatannya.
“Ini tidak menjadi masalah kerana memang selalu orang berjumpa dengan perdana menteri berhubung dengan perkara sama, cerita yang sama, oleh kerana tidak puas hati dengan sesiapa sajalah,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Wan Junaidi berkata, beliau sendiri tidak boleh mendalami atau terbabit dengan isu ketidakpuasan hati Zuraida dan parti politik yang disertainya sebelum ini.