
PETALING JAYA: Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menasihatkan rakyat mengubah corak pembelian bagi mengelakkan berbelanja berlebihan kerana harga barang keperluan dijangka meningkat sehingga 60% pada bulan depan.
Dalam meminta kerajaan terus menyalurkan bantuan kepada rakyat memerlukan, Ketua Pegawai Eksekutif Fomca, Saravanan Thambirajah berkata, harga barang bukan dikawal sepenuhnya oleh kerajaan, sebaliknya bergantung kepada permintaan dan tawaran.
“Kerajaan telah mencuba sedaya upaya untuk menangani harga barangan berkenaan, tetapi bukan semuanya ditentukan kerajaan kerana ia tiada kuasa sepenuhnya dalam hal itu.
“Harga barangan bergantung kepada permintaan dan penawaran, kini ramai M40 dan B40 terkesan akibat kenaikan harga barangan dan kuasa membeli mereka turut berkurangan,” katanya ketika dihubungi FMT.
Media sebelum ini melaporkan harga barang keperluan dijangka meningkat sehingga 60% pada bulan depan, susulan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 yang ditambah sikap sesetengah peniaga memanipulasikan harga untuk mengaut keuntungan.
Kenaikan harga dirasai sejak Ramadan lalu, apabila harga barang keperluan asas kritikal seperti daging, ayam dan sayur-sayuran melambung tinggi.
Saravanan berkata, masalah kenaikan harga barangan tidak terletak di “bahu” kerajaan sepenuhnya, sebaliknya pengguna perlu memainkan peranan dengan mengubah corak pembelian mereka ke arah lebih bijak.
Sebelum membuat sebarang pembelian, katanya, pengguna perlu menilai dari segi harga, kualiti, kuantiti dan tawaran alternatif yang berbaloi dengan nilai wang.
“Pengguna mesti melakukan perbandingan harga barangan apabila membeli-belah, pilih peniaga yang mempunyai produk keluaran sendiri, jadi harga akan lebih murah.
“Jangan beli makanan terlalu mahal buat masa ini, cuba minimumkan bajet, beli makanan yang berkhasiat untuk keluarga dan jangan belanja berlebihan untuk barangan selain daripada keperluan.”