Azmin tidak akan ikut jejak Zuraida, kata ahli MPT Bersatu

Azmin tidak akan ikut jejak Zuraida, kata ahli MPT Bersatu

Ahli MPT Bersatu Razali Idris berkata beliau menghubungi Azmin Ali dan menteri itu menafikan akan meninggalkan parti dan menyertai PBM.

Azmin Ali memaklumkan beliau tidak akan meninggalkan Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM). (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tidak ada tanda Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali akan mengikut jejak Zuraida Kamaruddin meninggalkan Bersatu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Razali Idris, berkata beliau sendiri menghubungi Azmin dan menteri berkenaan menafikan perkara itu.

Katanya, Azmin turut memaklumkan beliau tidak akan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

“Saya sudah menghubungi dan bercakap panjang lebar mengenai dua dakwaan itu dan Azmin menafikan akan ikut jejak Zuraida untuk meninggalkan Bersatu dan menyertai PBM.

“Kita juga menafikan dakwaan ramai ahli MPT akan melepaskan jawatan untuk bersama Zuraida dalam PBM,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Razali mengesahkan kali terakhir menghubungi Azmin pada Jumaat lalu.

“Setakat ini kita mengesahkan hanya Zuraida meninggalkan parti dan tiada satu pun cawangan Bersatu di Kedah dibubarkan seperti didakwa ahli Parlimen Ampang itu.

“Kita bagi pihak seluruh badan pimpinan Bersatu negeri mengucapkan tahniah kepada Zuraida kerana bertindak awal menghantar surat memohon meninggalkan parti,” katanya.

Razali berkata, sepatutnya Lembaga Tindakan Tatatertib Bersatu menghantar surat pemecatan Zuraida selepas didapati tidak menghadiri mesyuarat MT melebihi lima kali dan mula berjinak dengan PBM sejak lebih enam bulan lalu.

“AMT Bersatu sudah mengemukakan usul agar Zuraida dipecat daripada parti, tetapi Presiden Muhyiddin Yassin meminta lembaga disiplin menghantar surat tunjuk sebab selepas gagal hadir mesyuarat tanpa sebab melebihi lima kali,” katanya.

Ketika mengulas dakwaan Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan yang mengatakan Berstu semakin lemah susulan Zuraida meninggalkan parti, Razali meminta ahli Parlimen Pontian itu tidak bersikap celupar.

Katanya, Ahmad diminta tidak mencampuri urusan Bersatu sebaliknya memberi tumpuan kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) yang semakin bercelaru.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.