
Yeo Kwi Seng, didakwa menghantar video yang “mengaibkan kehormatan” Wong Pei Huan, antara 23 Mei dan 16 Jun, di Imbi Plaza. Wong merupakan anak perempuan kepada veteran MCA, Wong Mook Leong.
Sekiranya didapati bersalah mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, tertuduh berdepan hukuman maksimum lima tahun penjara, denda atau kedua-duanya.
Majistret Wong Chai Sia membenarkan Yeo diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin. Sebutan semula kes ditetapkan pada 26 Jul.
Peguam Kitson Foong berkata, kakak ipar Yeo akan membayar ikat jamin berkenaan. “Tertuduh merupakan ahli masyarakat yang disegani dan tidak menimbulkan risiko melarikan diri,” katanya.
Dilaporkan tahun lalu, Wong yang juga bekas peguam, mendakwa diganggu secara seksual oleh pemimpin persatuan Cina itu dalam akaun Facebook miliknya.
Wanita itu berkata, dia bertemu dengan tertuduh ketika menghadiri satu majlis pengebumian pada 2021 dan mereka bertukar-tukar nombor telefon.
Wong berkata, pada mulanya, lelaki berkenaan menghubunginya untuk bertanya berhubung perkara membabitkan perundangan, namun perbualan antara mereka seterusnya menjadi “janggal”.
Katanya, lelaki itu, menerusi firma guaman Apandi Ali juga menghantar surat tuntutan supaya menarik semula laporan polis terhadapnya.
Wong turut mendakwa, dia “ditekan” oleh beberapa ahli kanan MCA, parti politik lain dan persatuan agar menarik balik laporan polis yang dibuat dan tidak memanjangkan perkara itu.
Nom Phot Prackdit menjalankan pendakwaan bagi kes itu hari ini.