Kerajaan tingkat promosi guna sisa isirung sawit, tangani isu bekalan, harga ayam

Kerajaan tingkat promosi guna sisa isirung sawit, tangani isu bekalan, harga ayam

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin berkata antara punca kenaikan harga ayam disebabkan harga makanan yang tinggi.

Harga makanan ayam meningkat daripada RM500 satu tan kepada RM1,900 satu tan. (Gambar Rawpixel)
PETALING JAYA:
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan meningkatkan usaha mempromosi penggunaan sisa isirung sawit sebagai makanan haiwan bagi mengawal harga dan bekalan ayam untuk tempoh jangka panjang.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, antara punca kenaikan harga ayam ialah harga makanan yang tinggi yang meningkat daripada RM500 satu tan kepada RM1,900 satu tan.

“Disebabkan ini, ayam kurang diberi makan menyebabkan ternakan membesar dengan lebih perlahan daripada biasa dan seterusnya memberi kesan terhadap bekalan ayam.

“Buat masa ini Malaysia mengimport sebahagian besar makanan ayam dan kebanyakannya diperbuat daripada bijirin seperti jagung dan kacang soya. Sumber ini menghadapi kekurangan di seluruh dunia akibat perang di Ukraine dan keadaan cuaca yang tidak menentu,” katanya dalam kenyataan.

Zuraida berkata, kementeriannya juga akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan untuk mengkaji semula dasar eksport isirung sawit (PKC) yang akan lebih memihak kepada ayam pedaging tempatan yang menyaksikan ia kini dieksport untuk industri ternakan lembu Eropah.

“Kementerian juga akan bekerjasama dengan agensi berkaitan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan kerajaan negeri untuk melihat dengan segera bagaimana ketersediaan sisa isirung sawit sebagai makanan haiwan untuk industri ayam negara dapat dilakukan.

“Selain itu, KPPK juga akan bekerjasama rapat dengan institut penyelidikan seperti universiti awam untuk melihat cara meningkatkan kualiti PKC bagi menjadikannya pilihan utama penternak ayam. Ini termasuk kajian untuk mengurangkan kandungan serat dalam PKC,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.