
Presidennya Abdul Hadi Awang turut menyindir pihak yang mendesak PRU15 diadakan secara tergesa-gesa dalam tempoh inflasi ini sebagai golongan yang mementingkan diri.
Hadi berkata, kerajaan perlu fokus kepada kesejahteraan rakyat dan pemulihan ekonomi kerana sekarang bukan masa sesuai untuk membubarkan Parlimen ketika seluruh dunia masih bergelut dengan isu ketidaktentuan ekonomi di samping wabak Covid-19.
“PAS bersedia pada bila-bila masa sahaja untuk PRU, tetapi kita mengambil kira rakyat dan mahu kesusahan mereka diselesaikan dahulu.
“Kita tidak bergantung kepada desakan orang kerana golongan itu hanya mahu berkuasa. PAS bukan begitu kerana kita turut mengutamakan rakyat,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di rumahnya selepas menyampaikan kuliah dhuha di Masjid Rusila, Marang hari ini.
Terdahulu, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan akan berbincang tarikh PRU15 bersama Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat.
Zahid turut menyatakan perjumpaan antara Ismail bersama “lima pemimpin teratas” bagi menentukan tarikh pembubaran Parlimen akan berlaku bila-bila masa sahaja.
Sementara itu, Hadi menolak dakwaan kononnya PAS takut kehilangan kuasa jika PRU15 diadakan secara tergesa-gesa.
Tegasnya, jentera PAS sudah bersiap-siaga untuk berjuang sama ada tarikh PRU cepat atau lambat.