
Katanya, masalah tenaga buruh menjejaskan keseluruhan industri kelapa sawit.
Jelasnya, persatuan itu teruja apabila mendapat tahu bahawa sebuah syarikat terkemuka telah diberi permit untuk membawa masuk pekerja dari Lombok, Indonesia baru-baru ini.
“Ini bermakna proses pengeluaran permit telah bermula,” katanya memetik laporan Bernama.
Pihaknya berharap proses keseluruhan dapat dimulakan tanpa berlengah-lengah supaya semua syarikat, pemain besar, sederhana atau kecil, akan mendapat manfaat daripada sekembalinya pekerja ke Malaysia.
MEOA berkata, pada awal 2022, ia menganggarkan terdapat kekurangan kira-kira 120,000 pekerja dalam industri minyak sawit tempatan.
Menurut Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), ia boleh menyebabkan industri dan negara kehilangan hasil sebanyak RM28 bilion daripada tandan buah segar yang tidak dituai tahun ini.
MEOA berkata, Malaysia kehilangan peluang keemasan untuk memenuhi permintaan minyak sawit global yang semakin meningkat kerana ia tidak dapat menampung penuaian semua tandan kelapa sawit pada waktu penuaian yang sesuai disebabkan oleh kekurangan jumlah tenaga buruh.
Ia juga memberi amaran bahawa kekurangan buruh itu juga akan menjejaskan keadaan ladang dan hasil tanaman. Ia akan menyukarkan penuaian tandan buah segar jika pelepah kelapa sawit tidak dibersihkan.