
Er Chern Siew mengaku bersalah terhadap tujuh pertuduhan, iaitu enam daripadanya berkaitan penipuan dan satu pertuduhan tinggal melebihi tempoh.
Portal Today di Singapura melaporkan Er ditahan pada 14 Okt tahun lepas. Dia mula masuk ke Singapura dengan menaiki bas pada Mei 2015 untuk mencari pekerjaan tetapi hanya mempunyai pas lawatan 14 hari.
Timbalan Pendakwa Raya Gabriel Choong berkata, Er tinggal di negara itu selama 2,394 hari dan bekerja sebagai jurujual serta ejen hartanah walaupun tidak dilesenkan oleh Akta Ejen Hartanah Singapura.
Bagi mengelakkan ditangkap, dia tinggal di pelbagai lokasi di seluruh negara itu malah telah menandatangani penyewaan unit di sebuah lokasi yang tidak didedahkan dengan menggunakan nama rakannya, Lim Sau Sen.
Dia turut menggunakan butiran pengenalan rakannya bagi aplikasi telefon, TraceTogether ketika pandemik – yang sama seperti aplikasi MySejahtera – dan mendaftarkan nombor telefon bimbitnya menggunakan nama teman wanita, Kok Po Yen.
Dia akhirnya ditahan selepas mangsa penipuannya membuat laporan polis pada Julai tahun lalu.
Di antara 1 Julai dan 26 Sept tahun lalu, Er didapati menipu 14 mangsa untuk membayar deposit sewa bagi unit yang sama di kompleks pangsapuri yang terletak di Lorong 35 Geylang.
Sekurang-kurangnya lima mangsanya terdiri daripada rakyat Malaysia, yang semuanya wanita dan ia melibatkan sejumlah wang antara SGD$800 dan SGD$850.
Choong berkata, Er akan menghantar mesej kepada orang ramai seperti rakyat Malaysia yang tinggal di Singapura menerusi media sosial untuk cuba menarik minat mereka menyewa hartanah yang diuruskannya.
Dalam salah satu penipuannya, dia meyakinkan mangsa wanita terbabit untuk memasukkan deposit sewa SGD$850 ke dalam akaun bank teman wanitanya sebelum mendakwa terdapat kelewatan tarikh pindah masuk dan kemudiannya terus gagal dikesan.