
Penasihat Lawyers for Liberty, N Surendran berkata, kerajaan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berhak dipuji atas keputusan yang telah lama ditunggu-tunggu ini.
“Bagaimanapun kerajaan tidak harus berhenti di sini. Moratorium hukuman mati semasa mesti diteruskan sehingga pemansuhan penuh hukuman mati dicapai.
“Hukuman mati adalah kejam, tidak boleh diterbalikkan dan tidak berkesan dalam mencegah jenayah berat. Masyarakat mesti teruskan usaha ini sehingga hukuman mati dimansuhkan,” katanya.
Penyelaras eksekutif Rangkaian Anti Hukuman Mati Asia, Dobby Chew berkata, hakim mesti diberi kuasa budi bicara untuk menentukan hukuman berdasarkan fakta kes agar keadilan tertegak.
“Hukuman mati mandatori menjadi punca ketidakadilan dalam sistem keadilan jenayah,” katanya.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori dengan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah.
Sebelum ini, kumpulan berkepentingan menggesa diwujudkan moratorium ke atas pelaksanaan hukuman mati terhadap banduan sehingga Parlimen mengundi rang undang-undang untuk memansuhkan hukuman mati.
Sejumlah 1,359 orang dilaporkan sedang menanti pelaksanaan hukuman mati setakat November tahun lalu.