
Pemangku Presiden MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima 150 aduan setiap bulan berhubung majikan lewat mencarum atau langsung tidak membayar caruman Perkeso.
“Alasan sebegini tidak boleh diterima sekali. Ini adalah satu ketidakpatuhan oleh majikan yang serius dan mereka perlu dikenakan tindakan dengan penalti lebih berat.
“Majikan perlu sedar akan kepentingan mendaftar pekerja mereka dan membuat caruman Perkeso sebagai satu kewajipan dalam mematuhi proses perundangan di Malaysia. Begitu juga bagi mereka yang mengambil remaja atau warga asing sebagai pekerja sambilan pada hujung minggu cuti persekolahan,” katanya kepada FMT.
Oleh itu, beliau mencadangkan kerajaan mengkaji semula kadar kompaun di bawah Seksyen 95A Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, dengan menaikkannya daripada RM5,000 kepada maksimum RM50,000.
Mereka yang didapati bersalah di bawah akta itu boleh didenda maksimum RM10,000 atau dipenjara dua tahun atau kedua-duanya. Kompaun bagi kesalahan di bawah akta itu tidak boleh melebihi separuh daripada jumlah maksimum untuk denda.
Rabu lalu, media melaporkan Perkeso mengeluarkan 220 kompaun dan tujuh arahan pematuhan hasil pemeriksaan ke atas 1,258 majikan di seluruh negara.
Ia mendapati kira-kira 20% majikan dan pekerja tidak mendaftar dengannya, manakala alasan paling kerap digunakan majikan tidak mencarum kepada Perkeso ialah mereka tidak tahu perlu berbuat demikian.
Effendy berkata, laman sesawang Perkeso dan aplikasi Platform Prihatin perlu dikemas kini dari semasa ke semasa, selain kerajaan perlu mempromosikan peranan Perkeso dan mengadakan program “outreach” di tempat awam.