Pemimpin Pemuda DAP didakwa menghina dalam protes lawatan Najib

Pemimpin Pemuda DAP didakwa menghina dalam protes lawatan Najib

Tertuduh mengaku tidak bersalah atas kesalahan yang dilakukan di luar medan selera Insadunia pada 25 Mac lalu.

Lim Zheng Han (berbaju merah) diapit peguam RSN Rayer (kanan) dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim serta penyokong di mahkamah Bukit Mertajam hari ini.
BUKIT MERTAJAM:
Seorang pemimpin pemuda DAP yang mengetuai protes kecil di luar medan selera untuk mengecam lawatan bekas perdana menteri Najib Razak ke Pulau Pinang, dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas dakwaan menghina.

Pemimpin Pemuda DAP Bahagian Bukit Mertajam Lim Zheng Han, 25, didakwa telah menggunakan perkataan menghina dengan tujuan membangkitkan kemarahan bagi mengganggu keamanan di luar medan selera Insadunia kira-kira jam 2 petang pada 25 Mac.

Dia mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan yang dikemukakan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda maksimum RM100 jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Afifah Mohd Shokri memohon mahkamah mengenakan jaminan RM1,000.

Tertuduh yang diwakili peguam, RSN Rayer memohon jumlah itu dikurangkan kepada RM500 dan meminta anak guamnya tidak digari atau ditahan di dalam sel ketika membayar ikat jamin.

Rayer juga berhujah bahawa anak guamnya hanya mengangkat sepanduk mengandungi fakta, memetik keputusan “memalukan negara” oleh hakim Mahkamah Rayuan yang dalam mendapati Najib bersalah atas kesalahan rasuah.

Beliau berkata, tiada perkara yang kesat dikeluarkan dan representasi untuk menggugurkan pertuduhan akan dihantar ke Jabatan Peguam Negara (AGC).

Pendaftar Hasliza Razak, yang bersidang sebagai majistret, membenarkan ikat jamin RM500 dan menetapkan 1 Julai untuk penyerahan dokumen.

Lim yang juga Pegawai Pembantu Kewarganegaraan Pulau Pinang, telah membayar ikat jamin.

Dia didakwa mengadakan protes dengan beberapa yang lain di luar medan selera itu sebelum dihalang oleh tiga lelaki yang memakan baju “Bossku”, lapor Malaysiakini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.