Perancis siasat pegawai awam, entiti negara berkait rasuah MRT, kata SPRM

Perancis siasat pegawai awam, entiti negara berkait rasuah MRT, kata SPRM

Bagaimanapun perkara itu sedang dibincang dengan Pejabat Peguam Negara susulan terdapat isu perundangan perlu diteliti.

Pihak berkuasa Perancis sedang menyiasat dakwaan penipuan dan rasuah membabitkan projek transit aliran massa (MRT) bernilai RM692 juta.
PETALING JAYA:
Permohonan bantuan perundangan bersama yang dipohon pihak berkuasa Perancis berhubung siasatan projek pembinaan infrastruktur awam, transit aliran massa (MRT) masih dibincang dengan Pejabat Peguam Negara.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Azam Baki, berkata kerajaan belum meluluskan permohonan terbabit susulan terdapat isu undang-undang yang perlu diteliti.

Katanya, selepas perbincangan dengan Pejabat Peguam Negara, SPRM perlu menunggu respons dari Perancis mengenai maklumat akan ditawarkan kepada mereka.

Azam berkata, pihak berkuasa Perancis hanya memohon untuk berhubung dengan pegawai awam dan entiti negara yang didakwa terbabit dalam suapan sebuah syarikat.

“Bagaimanapun, kita belum lagi memberi respons kerana ia membabitkan isu penguatkuasaan undang-undang dan banyak perundangan akan terbabit kerana setiap siasatan di luar negara kita perlu melalui proses undang-undang dan sama ada ia perlu didedahkan atau tidak, ia bergantung kepada negara berkenaan.

“Setakat ini, kita masih berbincang dengan Pejabat Peguam Negara, jika sudah setuju, kita tunggu pula respons mereka sama ada mahu terima atau tidak maklumat yang diberikan kepada mereka,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Terdahulu, laporan mengatakan pihak berkuasa Perancis sedang menyiasat dakwaan penipuan dan rasuah membabitkan projek MRT bernilai RM692 juta yang berlaku beberapa tahun lalu.

SPRM kemudian mengesahkan mereka sudah menyiasat kes itu sejak Mac lalu dan tumpuan siasatan kini kepada pembayaran berunsur rasuah dalam siasatan projek pembinaan MRT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.