
Tiga skim diskaun yang bermula pada 1 November tahun lalu telah tamat pada 30 April lalu.
Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata beliau telah membuat permohonan itu pada April lalu dengan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz kerana insentif itu memberikan manfaat kepada ramai peminjam.
Sepanjang skim diskaun itu dilaksanakan, Wan Saiful berkata ramai peminjam yang ambil peluang membayar sehingga jumlah bayaran balik hampir RM1.5 bilion.

“Ini menunjukkan ramai peminjam mendapat manfaat daripada diskaun yang kita berikan.
“Saya mahu manfaat ini terus dirasai oleh lebih ramai peminjam dan sebab itulah saya rasakan ia perlu dilanjutkan dan saya buat permohonan itu.
“Saya telah menulis surat kepada menteri kewangan pada bulan April yang lalu untuk meminta supaya tempoh pemberian diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN dipanjangkan sehingga 31 Disember 2022,” katanya.
Sebelum ini PTPTN telah menawarkan tiga skim diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN iaitu untuk skim pertama, diskaun sebanyak 15% atas baki hutang bagi penyelesaian penuh pinjaman.
Manakala untuk skim kedua diskaun 12% untuk bayaran sekurang-kurangnya 50% daripada baki hutang dalam sekali bayaran.
PTPTN juga menyediakan diskaun 10% untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus mengikut jadual.
Wan Saiful berkata dalam situasi ekonomi yang mencabar, sudah pasti diskaun tersebut adalah berita baik yang disambut oleh ramai.
“Dalam keadaan ekonomi yang terus kekal mencabar, adalah wajar kerajaan meneruskan skim yang sedia ada.
“Saya tidak minta kelulusan untuk skim baru. Hanya saya mahu mengekalkan skim yang sama sahaja untuk memberi manfaat kepada lebih ramai peminjam, terutama dalam suasana ekonomi yang mencabar hari ini,” katanya.
Beliau berharap kerajaan akan memberi kelulusan permohonan lanjutan skim diskaun itu.