
Loke mempersoalkan sama ada bekas perdana menteri itu menganggap rakyat Malaysia bodoh dengan membuat dakwaan sedemikian.
Katanya, Najib tidak akan didakwa atas tuduhan pengubahan wang haram jika dana itu tidak didakwa diperoleh secara haram.
“Kenyataan yang cukup tidak bertanggungjawab seolah-olah Najib masih rasa dirinya tidak bersalah,” katanya menerusi satu siaran langsung dalam talian malam tadi.
Najib membuat dakwaan itu pada konvensyen Barisan Nasional (BN) awal bulan ini, dengan beliau turut mendakwa menjadi mangsa mangsa penganiayaan politik dalam perbicaraan berkaitan 1MDB yang dihadapinya dan masih berjalan.
Najib dibicarakan atas 25 dakwaan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didepositkan ke dalam akaun AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.
Pada Mac, beliau memulakan saman fitnah terhadap Shamsul Iskandar Mohd Akin selepas ahli Parlimen Hang Tuah itu mendakwa beliau mencuri dana 1MDB sebanyak RM2.6 bilion untuk menampung gaya hidupnya.
Dalam menafikan dakwaan Shamsul, Najib berkata, di sebalik apa yang telah dibuktikan di mahkamah, pembangkang terus melancarkan propaganda bahawa beliau mencuri wang untuk membeli cincin dan beg tangan.
“Mereka tidak akan mengaku saya telah didakwa bawah AMLA dan bukan mencuri mahupun merompak dan dana tersebut telah dipulangkan kepada penghantar,” katanya.