
Biarpun pemberian perkhidmatan percuma bagi semua pengangkutan awam di bawah kendalian RapidKL adalah langkah baik, namun katanya, ia akan menjadi lebih teruk sekiranya kekerapannya tetap sama.
“Isu sekarang adalah penyelenggaraan fasiliti, kerosakan serta kekerapan pengangkutan awam berkenaan.
“Meskipun langkah ini dapat menggalakkan lebih ramai orang untuk menggunakan pengangkutan awam, tapi kekerapan masih sama, masalah akan menjadi lebih teruk lagi,” katanya di Twitter.
Ketika merasmikan projek MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pemberian perkhidmatan percuma selama sebulan bermula hari ini membabitkan MRT, LRT, BRT, Monorel serta bas RapidKL.
Bagaimanapun, Syahredzan berkata, masalah utama masih tidak dapat diselesaikan kerana rakyat tetap perlu membayarnya sebaik tempoh pemberian tambang percuma itu berakhir.
Tambahnya, sehingga kini masalah kesesakan masih berlaku di stesen LRT apabila pengguna terpaksa beratur selama tiga jam untuk menaiki pengangkutan terbabit.
Sementara itu, warganet melemparkan pelbagai kritikan terhadap pengumuman perdana menteri yang disifatkan sebagai langkah untuk meraih undi menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Mereka menegaskan, adalah lebih penting untuk kerajaan menangani isu pengangkutan awam seperti kesesakan dan masalah perkhidmatan tergendala.
“Gula-gula PRU saja ni. Selepas PRU, Umno masih memerintah, mampus la rakyat marhain kena cekik. Rakyat sudah boleh baca,” kata @solehudinrosman di Twitter.
Seorang lagi pengguna Twitter @atashaalina berkata, kerajaan hanya tahu “memberi benda percuma kepada rakyat” tetapi tidak mampu menyelesaikan isu penting yang lebih mendesak ketika ini.
Seorang pengguna dengan nama akaun @sofeahjoned menegaskan bahawa pembayar cukai pula yang perlu menanggung kos susulan pengumuman Ismail itu.