BDR kepada 50% pekerja Lembah Klang mampu jimat subsidi RM169 juta, kata kumpulan

BDR kepada 50% pekerja Lembah Klang mampu jimat subsidi RM169 juta, kata kumpulan

RimbaWatch berkata ambil kira Lembah Klang mewakili 23% tenaga kerja negara, pelaksanaan BDR secara menyeluruh di seluruh negara berpotensi menjimatkan subsidi minyak sehingga RM1 bilion sebulan.

work from home wfh
RimbaWatch berkata, bekerja dari rumah (BDR) bukan sahaja akan merendahkan tekanan fiskal, malah mengurangkan kesesakan lalu lintas dan pelepasan karbon.
PETALING JAYA:
Pelaksanaan aturan bekerja dari rumah (BDR) untuk separuh tenaga kerja di Lembah Klang sahaja mampu menjimatkan subsidi bahan bakar kerajaan sekitar RM169 juta sebulan, menurut satu kumpulan pencinta alam sekitar.

Berdasarkan data sumber kerajaan dan badan penyelidikan, RimbaWatch menganggarkan separuh daripada kira-kira 4.08 juta pekerja di Lembah Klang, atau sekitar 2.04 juta orang, tidak akan berada di jalan raya.

Kumpulan itu berkata, langkah berkenaan akan mengurangkan penggunaan petrol 4.51 juta liter sehari, atau 90.2 juta liter sebulan.

“Memandangkan jumlah disubsidi semasa pada kadar RM1.88 seliter, ini akan diterjemahkan kepada penjimatan subsidi bahan api sebanyak RM169 juta sebulan.

“Sekiranya iklim geopolitik semasa berterusan atau merosot tanpa had, ini boleh membawa kepada penjimatan subsidi RM2.03 bilion dalam tempoh 12 bulan,” katanya dalam kenyataan.

Kumpulan itu turut menyatakan, Lembah Klang hanya merangkumi kira-kira 23% jumlah tenaga kerja di Malaysia, sambil membayangkan pelaksanaan di peringkat kebangsaan mampu memberi penjimatan sehingga RM1 bilion sebulan.

Bermula 15 April, kakitangan di kementerian, agensi kerajaan, badan berkanun, dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan dibenarkan BDR, manakala syarikat swasta digalakkan mengambil langkah sama.

Langkah tersebut diambil berikutan kenaikan kos bahan api susulan gangguan rantaian bekalan global akibat konflik di Timur Tengah.

Harga minyak mentah Brent telah melonjak melepasi USD100 semenjak konflik berkenaan memuncak pada akhir Februari lalu.

Jumlah subsidi bahan api negara dianggarkan sekitar RM4 bilion sebulan, memandangkan Putrajaya mengekalkan harga subsidi RON95 pada RM1.99 seliter di bawah skim BUDI95, selain subsidi diesel bersasar.

Namun, kerajaan bertindak mengurangkan kuota subsidi RON95 secara sementara daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan, berkuat kuasa 1 April.

Selain daripada penjimatan kos, RimbaWatch menyatakan pengurangan perjalanan ulang-alik juga akan membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas dan menurunkan pelepasan karbon.

“Lonjakan harga tenaga bahan api fosil ketika ini menekankan keperluan perubahan struktur dalam kebolehcapaian pengangkutan, kemampanan, dan keselamatan tenaga di Malaysia, memandangkan bahan api fosil merupakan sumber tenaga yang semakin berkurangan, mahal, dan mencemarkan,” katanya.

Kumpulan itu turut menyeru pembaharuan jangka panjang, termasuk pelaburan yang lebih besar dalam pengangkutan awam dan penghapusan bahan api fosil secara berperingkat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.