
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Nancy Shukri berkata, sasaran yang disemak semula itu adalah berdasarkan petunjuk positif kemasukan pelancong asing membabitkan ketibaan sejumlah 2.3 juta orang tiga bulan lalu.
“Ini melepasi sasaran kami, pada mulanya kami menyasarkan dua juta hingga hujung tahun tetapi kini belum hujung tahun kami sudah pun mencapai sasaran tersebut.
“Mungkin hingga Sept kami boleh lihat lebih lagi, kami akan terus melakukan semakan dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang media selepas sesi dialog pelancongan Motac dan Majlis Pelancaran TRF 2.0.
Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata, kementeriannya menyasarkan ketibaan dua juta pelancong ke Malaysia tahun ini dengan hasil melebihi RM6.8 bilion.
Nancy berkata, bagi mencapai sasaran optimistik itu, TRF 2.0 akan memberi fokus kepada kerjasama pintar antarabangsa dan nasional, selain agenda pemerkasaan masyarakat setempat dalam mendepani ketidakpastian industri pelancongan masa depan.
Beliau berkata, pelan yang ditambah baik bersama penggiat industri melalui Tourism Productivity Nexus (TPN) itu akan turut memberi perhatian kepada usaha meningkatkan pendapatan negara melalui sektor pelancongan, bukan lagi pada kelangsungan dan pembukaan semula aktiviti pelancongan semata-mata.
Sementara itu, setakat bulan lalu, Nancy berkata, pihaknya menyalurkan bantuan kewangan sebanyak RM23.8 juta kepada 15,000 pengusaha pelancongan, selain RM4.73 juta nilai baucar ditebus bagi pembelian produk kraf, seni visual dan buku serta RM2.35 juta nilai baucar pula ditawarkan bagi pakej pelancongan dan pengangkutan darat.
Bagi geran padanan untuk pembaikan inap desa dan hotel bajet pula, sebanyak 342 permohonan bernilai RM1.64 juta diluluskan bagi inap desa dan 43 permohonan bernilai RM886,000 diluluskan bagi hotel bajet sehingga 15 Jun, katanya.