Jelaskan mengapa hanya tumpu siasatan terhadap Zahid, peguam beritahu SPRM

Jelaskan mengapa hanya tumpu siasatan terhadap Zahid, peguam beritahu SPRM

Seorang peguam mempersoalkan siapa yang mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk berbuat demikian dan mengapa.

Peguam Haniff Khatri Abdulla berkata, SPRM harus menjelaskan mengenai kegagalannya untuk menyiasat dan mendakwa ‘orang penting’ yang disebut dalam buku lejar UKSB.
PETALING JAYA:
Seorang peguam menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan pihak yang mengarahkan supaya ia hanya menumpukan siasatan terhadap Ahmad Zahid Hamidi atas dakwaan menerima sogokan daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).

Semalam, sumber yang tidak didedahkan identitinya berkata, beberapa tahun lalu SPRM meneliti beberapa nama yang disebut dalam buku lejar yang disimpan oleh bekas pengurus UKSB. Bagaimanapun katanya, pada masa itu, pegawai diarahkan untuk hanya menumpukan kepada bekas timbalan perdana menteri.

Mengulas perkara itu, peguam Haniff Khatri Abdulla mempersoalkan pihak yang mengarahkan SPRM untuk berbuat demikian dan mengapa.

“SPRM mempunyai kewajipan untuk menjelaskan pihak yang mengarahkannya supaya hanya tumpukan kepada Zahid supaya orang ramai tidak membuat kesimpulan atau membuat persepsi negatif terhadap mana-mana pihak atau individu,” katanya.

Haniff berkata, Latheefa Koya dilantik sebagai ketua pesuruhjaya SPRM pada 4 Jun 2019 dan Zahid menghadapi tujuh pertuduhan tambahan menerima rasuah pada 26 dan 27 Jun, iaitu pada bulan yang sama selepas pelantikan Latheefa.

Menurutnya, Tommy Thomas adalah peguam negara pada masa itu.

Beliau menggesa agensi pencegahan rasuah itu menjelaskan mengenai kegagalannya untuk menyiasat dan mendakwa “orang penting” lain yang disebut dalam buku lejar berkenaan.

Dalam laporan FMT semalam, sumber terbabit turut menjelaskan mengapa bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin tidak didakwa.

Sumber itu berkata, tidak ada bukti menunjukkan Muhyiddin menerima sebarang wang manakala dalam kes Khairy, wang itu disalurkan kepada Umno bahagiannya dan dianggap sebagai sumbangan politik.

Kewujudan buku lejar itu didedahkan dalam perbicaraan rasuah Zahid. Ia antara lain menyebut nama Muhyiddin, Khairy dan bekas menteri luar Anifah Aman, bekas ketua menteri Sabah Shafie Apdal, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Reezal Merican Naina Merican dan Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein.

Muhyiddin, Khairy dan Anifah sejak itu menafikan menerima sebarang dana daripada UKSB.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.