Lelaki warga tempatan mati mengejut ketika dalam tahanan

Lelaki warga tempatan mati mengejut ketika dalam tahanan

Lelaki berumur 39 tahun itu ditahan di Lokap Berpusat Shah Alam pada 15 Jun bagi siasatan di bawah Seksyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK).

Punca kematian belum diketahui dan Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman sedang menjalankan siasatan berkaitan kes tersebut, menurut polis. (Gambar fail)
SHAH ALAM:
Seorang tahanan polis warga tempatan mati mengejut pada Isnin lepas ketika menerima rawatan di Hospital Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Mohd Iqbal Ibrahim berkata, lelaki berumur 39 tahun itu ditahan di Lokap Berpusat Shah Alam pada 15 Jun untuk siasatan di bawah Seksyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK).

Beliau berkata, pada hari yang sama, lelaki berkenaan cuba mencederakan diri di lokap tersebut namun diselamatkan dan dihantar ke Hospital Shah Alam untuk rawatan.

“Dia dirawat di Hospital Shah Alam mulai 15 Jun, namun pada 20 Jun, 5.40 petang pegawai perubatan mengesahkan bahawa lelaki itu telah meninggal dunia di hospital tersebut.

“Punca kematian belum diketahui dan Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman sedang menjalankan siasatan berkaitan kes tersebut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.