
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata harga baharu ayam akan diumumkan dalam masa terdekat oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee.
“Keputusan yang dibuat ini membuktikan keprihatinan kerajaan demi menjaga kepentingan Keluarga Malaysia agar tidak terbeban dengan peningkatan harga dan cabaran kos sara hidup,” katanya.
Bermula 1 Julai, kerajaan memutuskan untuk menghentikan penyaluran RM700 juta subsidi untuk menstabilkan harga ayam dan telur kerana mendapati tidak mencapai hasrat seperti dikehendaki.
Pada 22 Jun lalu, Ismail berkata ketetapan itu dibuat kerana terdapat pihak yang mengambil kesempatan dengan terus menaikkan harga barang.
Beliau berkata, situasi itu juga sekali gus akan memberi kesan kepada kenaikan harga barang makanan lain.
Sementara itu, Ismail berkata kerajaan juga memutuskan tidak menaikkan kadar tarif elektrik dan air di Semenanjung.
“Dengan keputusan ini, kerajaan terus komited menampung subsidi sebanyak RM5.8 bilion, meskipun berlaku peningkatan mendadak kos bahan api dan kos penjanaan lain,” katanya.
Sebelum ini, kadar tarif elektrik dijangka dinaikkan mulai 1 Julai susulan kenaikan kos pengeluaran akibat lonjakan harga arang batu melebihi 117 peratus sejak hujung tahun lalu.
Bagaimanapun, pembangkang membidas langkah itu sebagai tidak wajar ketika orang ramai bergelut dengan kenaikan kos sara hidup.