Saya akui kesilapan lantik Isham sebagai ketua penerangan BN Selangor, kata Noh Omar

Saya akui kesilapan lantik Isham sebagai ketua penerangan BN Selangor, kata Noh Omar

Ketua Umno Selangor itu berkata, dakwaan Isham digugurkan atau ditamatkan perkhidmatan adalah tidak benar kerana ia hanya melibatkan kesilapan "istilah" di mana jawatan sepatutnya adalah pengarah komunikasi BN negeri.

Ketua Umno Selangor Noh Omar berkata, jawatan ketua penerangan BN negeri yang dijawat Isham Jalil tiada dalam perlembagaan BN dan oleh sebab itu ia ditamatkan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Ketua Umno Selangor Noh Omar mengakui kesilapannya melantik Isham Jalil sebagai ketua penerangan Barisan Nasional (BN) negeri sedangkan jawatan itu tiada dalam perlembagaan BN.

Beliau berkata, dakwaan bahawa Isham digugurkan atau ditamatkan perkhidmatan adalah tidak benar kerana ia hanya melibatkan kesilapan “istilah” yang mana jawatan sepatutnya adalah pengarah komunikasi BN negeri.

“Beliau bukan digugurkan, silap dulu pelantikannya… salah lantik. Jawatan ketua penerangan BN negeri tiada dalam perlembagaan BN.

“Dalam perlembagaan Umno memang ada ketua penerangan. Silapnya sayalah, dulu kita pun tak perasan. Rupanya di peringkat BN pusat ada pengarah komunikasi,” katanya pada sidang media selepas melancarkan kerjasama Summerfield dan animasi Didi and Friends.

Pada 8 Jun, Isham memaklumkan bahawa perkhidmatannya sebagai ketua penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor telah ditamatkan berkuat kuasa serta-merta.

Bekas pegawai khas kepada Najib Razak itu berkata, berdasarkan surat yang ditandatangani oleh Setiausaha BN Selangor Satim Diman, jawatan yang disandangnya itu tidak termaktub dalam perlembagaan gabungan berkenaan.

Isham dilantik sebagai ketua penerangan BN Selangor pada Mei 2020 menggantikan bekas Ahli Parlimen Sabak Bernam Abd Rahman Bakri.

Mengulas lanjut, Noh berkata, Isham juga tiada masalah mengenai perkara itu dan kini sudah pun dilantik sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.

“Sebelum ia jadi isu, apa ni lantik tapi tak faham perlembagaan ke? Sebab itu bukan ditamatkan tetapi jawatan itu tidak ada, memang tidak ada lah.

“Isham pun kata tiada masalah dan kemudian dilantik jadi MKT,” katanya.

Pada 24 Jun, Isham mengangkat sumpah sebagai ahli MKT Umno yang dilantik.

Beliau mengangkat sumpah di hadapan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan ahli MKT lain pada mesyuarat tertinggi parti itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.