
Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli turut memutuskan tertuduh, Mohd Shahrizuan Alias, 32, menjalani khidmat masyarakat selama 180 jam selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikemukakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun sembilan bulan itu didakwa mendedahkan kanak-kanak tersebut kepada sesuatu yang berbahaya terhadap tubuh badan, iaitu dadah berbahaya jenis metamphetamine dan morfin sehingga menyebabkan mangsa mengalami “drug toxicity”.
Kesalahan dilakukan di tepi sungai Kampung Sri Jaya, Mahligai, Dabong, Kuala Krai, pada 3 petang, 18 Jun lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) akta sama apabila disabitkan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.
Menurut laporan Sinar Harian, berdasarkan fakta kes pada 19 Jun, pihak Hospital Gua Musang menerima pesakit kanak-kanak tersebut dalam keadaan tidak sedarkan diri yang dibawa oleh ibunya untuk rawatan.
Ujian saringan air kencing mendapati kanak-kanak itu positif dadah jenis methamphetamine dan morfin serta dipercayai terlebih dos sehingga kritikal.
Sehari sebelum itu, kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) itu dibawa keluar oleh tertuduh untuk mandi sungai.
Mangsa diletakkan dalam kereta bersendirian kerana dilihat mengantuk sementara tertuduh turun semula ke sungai untuk mengambil anak lelakinya yang berusia dua tahun enam bulan.
Mangsa dipercayai meminum air mengandungi dadah milik tertuduh yang diletakkan di dalam kereta itu kerana mendapati botol sudah kosong.
Tertuduh ditangkap pada 10 malam, 19 Jun.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry, manakala tertuduh tidak diwakili peguam dan memohon hukumannya diringankan kerana perlu menyara keluarga.
Wan Nurul Hanini bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara setimpal ke atas tertuduh kerana kecuaian terhadap kanak-kanak bawah umur dan OKU tersebut.
“Mangsa yang masih kecil tidak dapat membezakan air yang mengandungi dadah kerana usia muda selain memerlukan pemerhatian serta tunjuk ajar.
“Tertuduh tidak sepatutnya cuai hingga menyebabkan mangsa kritikal hingga memerlukan bantuan oksigen,” katanya.