
Aktivis dan jurucakap keluarga Nhaveen, Arun Dorasamy didakwa bersikap “kasar dan mengancam” terhadap saksi Kugendran Mohan, 22, pada Oktober tahun lalu.
Peguam bela Naran Singh yang mengetuai pembelaan berkata, Kugendran telah membuat laporan polis selepas menemui Arun di satu restoran di Tanjung Bungah.
Dalam laporan itu yang dibacakan kepada mahkamah, Kugendran mendakwa Arun menumbuk meja selepas saksi itu memaklumkan beliau tidak tahu-menahu mengenai pergaduhan yang membawa kepada kematian Nhaveen.
Ketika memasukkan laporan polis itu sebagai bahan bukti, Naran berkata, saksi utama T Previin, 23, turut hadir dalam pertemuan itu.
Ketika soal balas oleh pembelaan, Previin mengaku beliau turut berada di situ tetapi tidak terlibat dalam perbincangan berkenaan, sebaliknya hanya mengikut Arun tanpa tahu mengenai pertemuan itu. Beliau turut menafikan Arun menghentak meja dan bercakap kasar dengan Kugendran.
“Saya kenal Kugendran, dia rakan kepada seorang rakan lain. Beliau ada di tempat kejadian (ketika Nhaveen dibelasah). Saya tidak berada dalam bilik itu untuk tempoh lama,” katanya dengan menambah tidak dapat ingat perbualan antara Arun dan Kugendran.
Naran berkata tidak masuk akal sekiranya Previin mampu ingat kejadian yang berlaku lima tahun lalu, tetapi sebaliknya bagi pertemuan yang cuma 10 bulan lalu itu. Beliau kemudian mencadangkan Previin dan Arun mengugut Kugendran, tetapi dinafikan saksi itu.
Sementara itu, Previin turut mengakui afidavit yang ditunjukkan kepadanya bukan ditulis olehnya, malah tidak mempunyai tandatangannya walaupun nama penuh dan nombor MyKad tertera di situ.
Selepas mahkamah berehat seketika, Previin mengubah keterangannya dengan berkata dokumen itu mengandungi tandatangannya, tetapi beliau tidak pasti mengenai isi kandungannya kerana telah disiapkan oleh peguamnya.
Naran kemudian memohon mahkamah mengarahkan peguam Rajesh Nagarajan supaya meninggalkan kamar mahkamah kerana berkemungkinan akan disoal mengenai isu itu kelak, memandangkan firmanya yang menyiapkan afidavit berkenaan. Mahkamah membenarkan permohonan itu.
Hakim Radzi Abdul Hamid kemudian menangguhkan prosiding sehingga esok.
S Gopinaath, 30, J Ragesuthan, 22, S Gokulan, 22, dan dua tertuduh juvana didakwa membunuh Nhaveen antara 11 malam hingga 12 tengah malam, 9 Jun 2017.