
Tan Siew Soo, yang terlibat dalam misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Congo pada 1962, berkata kerajaan “tidak pandai” memulihara tempat bersejarah berbanding negara lain.
“Kita mesti menghargai tempat bersejarah. Jika tidak memulihara atau mewartakan tempat seperti itu, kita akan kehilangannya kepada pihak lain seperti pemaju dan tidak ada orang yang tahu mengenai sejarah tempat itu.”
Tan memetik contoh kem tentera di Jalan Tun Razak di mana letaknya Lembaga Tabung Haji dan Permodalan Nasional Berhad sekarang.
“Kami ditempatkan di sana pada akhir 1950-an selepas mengambil alih kem daripada tentera British. Terdapat juga satu lagi kem yang dipanggil kem Utara berhampiran stesen LRT Titiwangsa sekarang,” katanya.
Seorang lagi veteran, Mohd Mohd Arshad Raji turut berkongsi sentimen sama.

“Jika kamu lihat tentera British, mereka tidak memusnahkan kem lama. Mengapa kita mesti musnahkan kem lama kita? Ia adalah sebahagian daripada sejarah kita dan kini ia hilang,” kata presiden Patriot itu.
“Kita tidak boleh hanya menjual tanah yang merupakan aset sejarah. Pemimpin hari ini tidak sedar tentang sejarah. Mereka hanya mementingkan keuntungan politik dan wang. Mereka harus belajar daripada British tentang cara mereka memulihara tapak bersejarah.”
Veteran Cawangan Khas Paul Kiong berkata, dia akan ke Gopeng, Perak pada setiap tahun untuk mengimbau kembali ketika dia menyamar sebagai komunis antara 1976 dan 1986 serta membantu menangkap sekurang-kurangnya 43 komunis, termasuk pemimpin mereka ketika pemberontakan.
“Ada tempat ini di mana saya pernah bertemu dengan komunis dan kini menjadi tanah perkuburan. Ia dulunya tanah perkuburan kecil, tetapi semakin berkembang mengikut peredaran zaman,” katanya.
“Saya hanya pergi ke sana setiap tahun untuk mengenang masa lalu apabila saya bersedia secara mental untuk mati demi negara.
“Namun saya sedih kerana kerajaan tidak tahu ini bahawa ini adalah tempatnya dan Arkib Negara tidak peduli untuk datang dan melihat tempat ini untuk tujuan rekod.”