
Ketua Polis Brickfields, Amihizam Abdul Shukor, berkata siasatan awal mendapati mangsa mendaftar kereta dengan sewa RM700 sehari menerusi aplikasi itu dan menerima notifikasi terdapat pelanggan berminat untuk menyewanya selama sehari pada 29 Jun lalu.
“Pihak Trevo telah menyerahkan kereta milik mangsa kepada seorang lelaki warga tempatan dan urusan serah-menyerah telah dilakukan di Bangsar South Kuala Lumpur pada 29 Jun.
“Namun, pada 30 Jun penyewa kereta tersebut didapati gagal memulangkan kereta pada masa dan tarikh ditetapkan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pihak Trevo mahu mengambil kereta tersebut namun suspek bertegas akan menyerahkan kenderaan itu terus kepada mangsa serta meminta syarikat aplikasi itu membatalkan penghantaran.
Katanya, mangsa telah menghubungi suspek dan dimaklumkan bahawa kereta tersebut diserahkan kepada penyewa lain, seorang lelaki tempatan yang berada di Banting.
“Selepas itu, mangsa gagal menghubungi suspek serta keretanya tidak dikembalikan sehingga hari ini,” katanya.
Mangsa dan pihak Trevo membuat laporan polis dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Amihizam turut menasihati orang ramai tidak menimbulkan sebarang spekulasi berhubung kes itu.