
Menurut Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kedah, Mohd Muaz Mohd Yusoff bilangan itu menurun berbanding 591 mangsa banjir (123 keluarga), setakat jam 12 tengah malam tadi.
Katanya, seramai 159 mangsa terbabit (50 keluarga) berada di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai dan 200 orang (43 keluarga) di PPS Surau An-Nur, Taman Mesra.
Sementara PPS Sekolah Menengah Agama (SMA) Yayasan Khairiah di Kupang pula menempatkan 130 mangsa banjir (15 keluarga) terdiri daripada kakitangan sekolah berkenaan.
“Terdapat juga 45 mangsa terdiri daripada 30 pelajar lelaki dan 15 lagi perempuan yang masih berada di sekolah terbabit,” katanya, menurut Berita Harian.
Dalam pada itu, menurut pegawai APM Daerah Baling Rasidah Kassim, Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) masih dibuka hingga keadaan kembali stabil dan mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
“Mangsa banjir terbabit masih berada di PPS kerana rumah mereka teruk diseliputi lumpur dan banyak barangan mengalami kerosakan.
“Justeru, mereka pulang pada waktu siang untuk membersihkan rumah dan kembali menginap di PPS apabila malam,” katanya.
Bencana banjir dan kepala air, Isnin lalu, menjejaskan 12 kampung di sekitar daerah itu membabitkan Kampung Iboi, Kampung Lata Celak, Kampung Padang Empang, Kampung Bukit Iboi, Kampung Masjid Iboi, Kampung Bendang Padang, Kampung Bendang Bechah, Kampung Tok Saba, Kampung Hangus, Kampung Bukit Tinggi, Klinik Kampung Pisang dan Kampung Sadik.