
Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata, penjualan barangan bersubsidi dapat dipantau menerusi sistem yang boleh menjejak pembelinya.
“Penggunaan kaedah seperti kad catuan elektronik membolehkan individu yang membeli minyak masak dikenal pasti, selain kuantiti dan lokasi pembelian dibuat,” katanya kepada FMT.
Kad tersebut boleh dijejaki, katanya, berbanding pengedaran dan penjualan minyak masak bersubsidi yang tidak dapat dijejak dengan sistem semasa.
Beliau mengulas laporan media mengenai minyak masak bersubsidi dalam polibeg yang diseludup menerusi Kelantan dan dijual di selatan Thailand, khususnya Narathiwat, Sungai Golok, Weng serta Sungai Padi.
Menurut laporan, minyak masak dalam polibeg 1kg djual dengan harga sekitar 55 baht (RM7) di Thailand, berbanding sebotol minyak masak yang berharga kira-kira 77 baht sekilogram.
Timbalan Presiden Pergerakan Pengguna Malaysia (MCM) Beninder Singh berkata, penjualan minyak masak bersubsidi secara runcit sukar dikawal kerana bilangan pegawai pemantau daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) terhad.
“Kerajaan mungkin lebih wajar mempertimbangkan untuk mengeluarkan setem atau kupon makanan bagi kumpulan sasaran, bukan sahaja untuk pembelian minyak masak, malah barangan lain yang bersubsidi,” katanya.
Dengan cara ini, lebih mudah untuk mengaudit penjualan dan mengawal ketirisan, tambahnya.
Pada 1 Julai, kerajaan menghentikan subsidi minyak masak dalam botol, namun meneruskan subsidi bagi minyak dalam polibeg 1kg.
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah ini diambil bagi mengelak ketirisan dan memastikan subsidi RM4 bilion untuk minyak masak sampai kepada pengguna yang disasarkan.