KPDN kenal pasti 6 modus operandi ketirisan barang kawalan

KPDN kenal pasti 6 modus operandi ketirisan barang kawalan

Menterinya Armizan Mohd Ali berkata langkah tegas dengan perketat kawalan dan pemantauan pengedaran amat penting bagi membanteras ketirisan.

Armizan Mohd Ali
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali ketika melawat sebuah stesen minyak berhampiran sempadan Rantau Panjang di Pasir Mas, Kelantan, hari ini. (Gambar Bernama)
PASIR MAS:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengenal pasti enam modus operandi utama yang menyebabkan berlaku ketirisan barang kawalan termasuk petrol dan diesel di seluruh negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali berkata enam modus operandi itu telah dibentangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan bagi Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan (JTPAP) pada 11 Mac lepas, yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.

“Antaranya ialah penyelewengan oleh pemegang lesen bagi barang kawalan berjadual (CSA) dan penyelewengan dibuat pihak ketiga yang dapat bekalan tetapi tidak salurkan kepada pihak yang sepatutnya.

“Aktiviti ‘bunkering’ juga kita pantau sebab wujud salah laku dan pemprosesan semula bahan petroleum di perairan negara,” katanya kepada pemberita selepas melawat stesen minyak dan pangkalan haram di sempadan Rantau Panjang.

Armizan berkata pemalsuan dokumen dari segi jumlah pembelian dan penyorokan bekalan sebelum dijual ke pasaran gelap termasuk sektor industri dengan harga yang lebih tinggi juga antara modus operandi dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

“Langkah tegas memperketat kawalan dan pemantauan pengedaran amat penting bagi membanteras ketirisan bekalan sama ada dalam bentuk penyeludupan, penyelewengan dan penyorokan.

“Selain penguatkuasaan di lapangan, langkah memperkukuh kawalan juga melibatkan pemantauan harian melalui papan pemuka pangkalan data rantaian pengedaran yang meliputi keseluruhan rantaian pengedaran merentasi kilang penapisan hingga ke peringkat peruncitan termasuk fasiliti penyimpanan, stesen minyak dan pengguna industri,” katanya.

Beliau berkata Fadillah juga akan mempengerusikan Mesyuarat JTPAP kali kedua Isnin ini dan akan memberikan penerangan status pelaksanaan penguatkuasaan.

“KPDN mengalu-alukan kebersamaan dan penyertaan awam termasuk dalam menyalurkan maklumat berkaitan.

“Masyarakat diingatkan agar sentiasa berhemah dan bertanggungjawab dalam berkongsi maklumat serta tidak menyebarkan berita tidak sahih yang boleh mencetuskan situasi panik dan kegusaran awam,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.