Kerajaan digesa lantik lebih ramai jurubahasa untuk kes sivil

Kerajaan digesa lantik lebih ramai jurubahasa untuk kes sivil

Litigan kini terpaksa menggalas tanggungjawab dan kos melantik jurubahasa sendiri, yang memakan belanja antara RM500 dan RM1,000 sehari, kata peguam SV Namasoo.

Jutaan yang dibelanjakan untuk menaik taraf dan mengkomputerkan sistem mahkamah tidak akan menjamin keadilan melainkan litigan dapat membentangkan kes mereka dengan cara yang terbaik, kata peguam. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Seorang peguam menggesa kerajaan melantik lebih ramai jurubahasa yang boleh menterjemah dialek Cina dan Tamil bagi membantu litigan dalam kes sivil.

SV Namasoo berkata, sebagai langkah jangka pendek, kerajaan boleh melantik dan menempatkan sekumpulan jurubahasa sedemikian di mahkamah utama dan menugaskan mereka ke mana-mana mahkamah apabila diminta.

Katanya, mahkamah juga boleh membenarkan jurubahasa sedia ada untuk ditempah awal oleh peguam.

“Jutaan yang dibelanjakan untuk menaik taraf dan mengkomputerkan sistem mahkamah tidak akan menjamin keadilan melainkan litigan dapat membentangkan kes mereka dengan cara yang terbaik,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada Jawatankuasa Peguam Perak yang dimaklumkan bahawa mahkamah tidak lagi akan menyediakan jurubahasa sedemikian untuk litigan dalam saman sivil.

“Akses kepada keadilan bukan sahaja ditentukan oleh infrastruktur mahkamah yang canggih tetapi oleh kakitangan sokongan untuk memastikan litigan mendapat keadilan di mahkamah,” kata Namasoo, yang telah bertahun-tahun berkhidmat dalam jawatankuasa itu, dan di Majlis Peguam tahun lepas.

Beliau berkata, kini litigan terpaksa menggalas tanggungjawab dan kos melantik jurubahasa sendiri, yang memakan belanja antara RM500 dan RM1,000 sehari.

Peguam Harjeet Singh Sidhu berkata, gaji yang rendah dalam sektor awam menjadi punca kekurangan jurubahasa, terutamanya bagi dialek Cina.

“Saya kenal beberapa orang yang memilih untuk menjadi jurubahasa bebas. Pendapatannya lebih tinggi,” katanya.

Beliau menggesa kerajaan mengkaji semula skim gaji dan menambah baik laluan kerjaya jurubahasa untuk menarik minat mereka agar kekal dalam sektor awam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.