
Ketua Pegawai Operasi Yayasan Wisdom, Zila Fawzi, berkata pengundi seharusnya boleh menggunakan hak mereka untuk mengundi walaupun wujud halangan seperti jarak geografi.
“Itulah dihadapi kebanyakan rakyat Malaysia Timur setiap kali tiba waktu pilihan raya, dan isu terbesar mereka ialah kos perjalanan,” katanya pada Persidangan Keperluan Mengenai Pembaharuan Pra-PRU15 di sini.
Beliau berkata, ia juga adalah masalah biasa bagi pengundi luar negara dan pengundi luar kawasan.
Zila berkata, dianggarkan hampir 500,000 rakyat Sabah dan Sarawak tinggal di Semenanjung Malaysia.
Memetik pilihan raya negeri Sarawak sebagai contoh, beliau berkata jika sebahagian daripada jumlah itu adalah rakyat Sarawak, ia bermakna 250,000 pengundi menaiki pesawat dengan kapasiti 160 penumpang setiap satu.
“Itu akan mengambil lebih daripada 1,500 penerbangan sehala,” katanya.
Zila mencadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan beberapa langkah termasuk memperluaskan hak mengundi tidak hadir kepada semua pengundi Malaysia Timur di luar negeri mereka.
Pengundi terbabit perlu dibenarkan membuang undi di negeri mereka berada dalam tiga hari sebelum hari mengundi.
“Sekiranya SPR boleh melanjutkan pengundian pos kepada mereka yang berada di seberang Selat Tebrau (Singapura), ia tidak sepatutnya menjadi perkara terlalu sukar untuk merangka mekanisme bagi pengundi luar,” katanya, merujuk kepada SPR yang menerima undi pos oleh warga Malaysia yang layak mengundi dalam pilihan raya negeri Johor.