
Bekas timbalan perdana menteri itu memberitahu Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong beliau tidak akan tahu identiti penderma berdasarkan salinan cek yang ditunjukkan kepadanya.
“Sumbangan itu dibuat untuk tujuan keagamaan dan kebajikan. Tidak bermoral untuk bertanya siapa pendermanya. Soalan sama diajukan sejak semalam untuk memerangkap saya,” katanya semasa pemeriksaan balas pihak pendakwaan.
Harris mencabar Zahid bahawa beliau tidak tahu siapa pendermanya kerana cek itu adalah hasil kegiatan yang menyalahi undang-undang.
Persoalan itu berhubung 11 keping cek berjumlah RM3.8 juta yang diserahkan oleh Zahid kepada firma guaman Lewis & Co untuk disimpan dalam akaun pelanggan sejak firma itu dilantik sebagai pemegang amanah yayasan tersebut.
Tuduhan membabitkan jumlah RM3.8 juta itu ialah satu daripada 27 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM65 juta yang dihadapi Zahid.
Harris menolak tuduhan Zahid dengan berkata, pihak pendakwaan dan presiden Umno itu berada di mahkamah untuk mendapatkan keadilan, justeru fakta mesti dikemukakan supaya mahkamah dapat membuat keputusan.
“Kita di sini mencari keadilan. Anda tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah. Fakta mesti dikemukakan,” katanya.
Peguam utama Zahid, Teh Poh Teik, mencelah dengan berkata, fakta-fakta berkenaan sebaiknya dikemukakan dalam penghujahan.
Bagaimanapun, hakim Collin Lawrence Sequerah berkata, komen Harris adalah bagi menjawab tuduhan Zahid.
“Tetapi anda telah sampaikan maksud anda, teruskan,” hakim memberitahu Harris.
Zahid berdepan 47 tuduhan – 12 membabitkan pecah amanah jenayah (CBT), lapan rasuah dan 27 berkait pengubahan wang haram – membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.
Pada 24 Jan, mahkamah memerintahkan beliau membela diri atas semua pertuduhan selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.
Perbicaraan diteruskan.