Tiada perjanjian jawatan TPM antara PM-PN, kata Hadi

Tiada perjanjian jawatan TPM antara PM-PN, kata Hadi

Ia susulan dakwaan Bersatu berhubung wujud perjanjian jawatan timbalan perdana menteri antara PN dengan Ismail sebelum dilantik sebagai perdana menteri.

Abdul Hadi Wang mengakui ada perbincangan berhubung jawatan timbalan perdana menteri, tetapi tiada keputusan dicapai semasa awal penubuhan kerajaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
PAS menafikan dakwaan Bersatu mengenai kewujudan perjanjian antara Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dengan Perikatan Nasional (PN) berhubung jawatan timbalan perdana menteri.

Presidennya, Abdul Hadi Awang bagaimanapun mengakui ada perbincangan mengenai jawatan itu pada awal penubuhan kerajaan pimpinan Ismail, namun tidak ada keputusan dicapai.

“Tiada ada janji (perjanjian). Kita ada bincang (jawatan timbalan perdana menteri), tetapi tak ada keputusan,” katanya dalam sidang media di Facebooknya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Bersatu berhubung kewujudan perjanjian jawatan timbalan perdana menteri antara PN dengan Ismail sebelum dilantik sebagai perdana menteri.

Selasa lalu, Bersatu dilaporkan berkata, perbincangan jawatan timbalan perdana menteri yang dibuat antara Presidennya, Muhyiddin Yassin dan Ismail baru-baru ini, bukan sesuatu yang baharu.

Ketua Penerangannya, Wan Saiful Wan Jan berkata, jawatan itu adalah perjanjian antara PN dengan Ismail sebelum beliau dilantik sebagai perdana menteri.

Ahad lalu, Muhyiddin berkata, beliau menemui Ismail minggu lepas untuk membincangkan pelantikan dalam Jemaah Menteri, termasuk jawatan timbalan perdana menteri yang menurutnya berkaitan perjanjian PN dengan perdana menteri.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan menafikan dakwaan terdapat perjanjian Ismail dengan PN untuk melantik timbalan perdana menteri, sebelum Ismail dilantik menerajui negara.

Hadi berkata, jawatan timbalan perdana menteri tidak diperlukan buat masa ini kerana pilihan raya umum mungkin diadakan pada bila-bila masa.

Buat masa ini, katanya, kerajaan perlu memfokuskan rakyat.

“Kita masih sibuk urusan-urusan rakyat. Tak perlu ada timbalan perdana menteri. (Menteri) jalankan tugas masing-masing.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.