
Kelulusan pindaan itu bertujuan memantapkan penguatkuasaan hutan dalam membanteras kegiatan pengambilan hasil hutan tanpa kebenaran dan meningkatkan pelaksanaan aktiviti pemeliharaan serta pemuliharaan hutan.
Pindaan membabitkan 62 Fasal yang merangkumi lapan daripada 10 bahagian bagi menambah baik Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).
Pindaan itu membolehkan pesalah hutan simpan kekal berdepan hukuman lebih berat.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli Takiyuddin Hassan, ketika membentangkan RUU berkenaan bagi bacaan kali kedua berkata, pindaan itu adalah bagi mencapai lima objektif antaranya mengawal proses pewartaan keluar dan penggantian hutan simpan kekal (HSK).
“Ia juga bertujuan memantapkan penguatkuasaan hutan bagi membanteras kegiatan pengambilan hasil hutan tanpa kebenaran, selain meningkatkan kadar denda dan hukuman serta penalti tambahan bagi membendung kesalahan hutan. Pindaan turut bertujuan mengatasi isu kekaburan dan kuasa yang tidak jelas serta menambah baik jadual dalam akta untuk memantapkan pengurusan dan penguatkuasaan perhutanan.
“Pindaan ini dapat memastikan kelangsungan fungsi hutan dalam menjamin kestabilan alam sekitar, membekalkan sumber makanan, jaminan bekalan air bersih, bekalan oksigen serta menyimpan stok karbon yang penting,” katanya di Dewan Rakyat.
Akta 313 itu dipinda buat pertama kali pada 1993 bagi membendung kegiatan pencerobohan hutan dan pengambilan hasil hutan tanpa kebenaran yang serius pada akhir 1980-an dan awal 1990-an.
Pindaan akta itu dibuat antara lain untuk menentukan persamaan undang-undang bagi negeri di Malaysia dalam merangka undang-undang berkaitan pentadbiran, pengurusan dan pemuliharaan hutan serta pembangunan perhutanan.
Antara kesalahan yang membolehkan hukuman lebih berat dikenakan adalah kesalahan memiliki hasil hutan secara tidak sah, menghasilkan pembakaran dan membuang sampah-sarap.
Menurut naskhah biru yang diedar di Parlimen, bagi penalti kesalahan di bawah Seksyen 84 (1) iaitu kesalahan memiliki hasil hutan secara haram, hukuman denda dinaikkan sehingga maksimum RM200,000 manakala hukuman penjara dinaikkan daripada maksimum lima tahun kepada 10 tahun.
Bagi kesalahan di bawah Seksyen 82, iaitu larangan ke atas pembakaran seperti menyalakan, menyimpan atau membawa apa-apa api, atau membiarkan apa-apa api menyala dengan apa-apa cara yang membahayakan hutan simpan, individu yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 berbanding RM50,000 sebelum ini atau dipenjara maksimum tujuh tahun berbanding lima tahun sebelum ini atau kedua-duanya sekali.
Pindaan itu turut membabitkan Seksyen 83 iaitu pembuangan sampah-sarap di dalam hutan simpan kekal iaitu pesalah boleh didenda sehingga RM20,000 iaitu sekali ganda berbanding denda sebelum ini (RM10,000) atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.