2 pengawal keselamatan didakwa bunuh ahli perniagaan

2 pengawal keselamatan didakwa bunuh ahli perniagaan

Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wong Chai Sia kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

M Hariadasan dan G Sathorohgunosing didakwa bersama-sama seorang lagi masih bebas, membunuh Goh Chok Chuan di parkir kereta berhampiran pondok pengawal Amarin Kiara, 11 Julai lalu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Dua pengawal keselamatan didakwa di mahkamah majistret di sini hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang ahli perniagaan yang ditemukan terbaring berlumuran darah berhampiran keretanya yang diletakkan di luar kawasan perumahan.

M Hariadasan, 28, dan G Sathorohgunosing, 32, didakwa bersama-sama dengan seorang yang masih bebas membunuh Goh Chok Chuan, 63, di parkir kereta berhampiran pondok pengawal Amarin Kiara, antara 11.40 malam hingga 11.55 malam, 11 Julai lalu.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wong Chai Sia kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.

Kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa Nom Phot Prackdit manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. Mahkamah menetapkan 29 Sept ini untuk sebutan semula kes.

Pada 12 Julai lalu, Ketua Polis Brickfields, Amihizam Abdul Syukor dalam kenyataan berkata, saksi kejadian mendengar tiga das tembakan dilepaskan sebelum menemukan mayat mangsa.

Beliau berkata, lelaki berkenaan dikatakan bermain mahjung di rumah rakannya di Amarin Kiara dan dilapor ditembak berdekatan keretanya yang dipakir berhampiran pondok pengawal di luar kawasan perumahan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.