2 kanak-kanak maut tertimbus tanah runtuh

2 kanak-kanak maut tertimbus tanah runtuh

Kejadian membabitkan sebuah rumah didiami sembilan sekeluarga yang dihempap tanah runtuh kira-kira jam 8 malam tadi.

Rumah didiami sembilan sekeluarga dihempap tanah runtuh di Jalan Bukit Nenas, Kota Kinabalu, malam tadi.
KOTA KINABALU:
Dua kanak-kanak maut manakala dua lagi cedera dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Nenas, di sini, malam tadi.

Mangsa Isa Sabri, 2, dan Norain Jaziz, 11, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE).

Manakala Siti Nur, 28, patah tangan dan suaminya Sabri Botong, 28, cedera ringan di kaki menerima rawatan di hospital sama.

Jurucakap Bomba Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu jam 8.26 malam tadi.

“Setibanya di lokasi kejadian didapati, berlaku tanah runtuh menghempap sebuah rumah yang didiami sembilan sekeluarga.

“Terdapat empat mangsa terbabit iaitu satu cedera di bahagian kaki manakala tiga lagi tertimbus tanah dan pokok,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Salah seorang mangsa yang diselamatkan pasukan bomba dalam kejadian itu. (Gambar Bomba)

Menurutnya, seorang mangsa kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dihantar ke hospital sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.

“Dua lagi mangsa perempuan termasuk seorang kanak-kanak yang tertimbus berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan orang awam.

“Mangsa kemudian diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS dan seterusnya dihantar ke hospital menggunakan EMRS dan ambulans.

“Dua kanak-kanak disahkan meninggal dunia di hospital manakala dua lagi mangsa yang cedera kini menerima rawatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.