
Mangsa berusia 54 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kulim, Kedah, 10 pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, G Suresh Kumar, berkata guru pendidikan moral sebuah sekolah di Pulau Pinang itu dikatakan pergi ke satu lokasi bersama rakannya.
Katanya, ketika itu guru berkenaan didatangi beberapa individu lalu tercetus pergaduhan.
“Mangsa bagaimanapun dibawa pulang ke rumahnya di Lunas oleh rakannya dalam keadaan cedera.
“Isteri mangsa yang bimbang dengan tahap kecederaan mangsa telah meminta rakan suaminya membawa mangsa ke ke Hospital Kulim pada 9.15 malam Rabu,” katanya menurut Astro Awani.
Suresh berkata, doktor mengesahkan mangsa mengalami patah tengkuk dan terpaksa bergantung alat bantuan pernafasan sebelum disahkan meninggal dunia pagi tadi.
Katanya, polis menunggu keputusan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian mangsa.
“Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.