
Syarikat itu berkata, mereka kini diterajui kepimpinan baharu yang komited untuk meneruskan projek membina enam kapal tempur pesisir (LCS) untuk tentera laut.
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen berkata, tiada satu kapal pun telah disiapkan walaupun kerajaan membelanjakan RM6 bilion untuk projek itu sejak 2011.
Tentera laut sepatutnya menerima lima daripada enam kapal itu menjelang Ogos.
Syarikat perkapalan itu berkata, mereka mengalu-alukan laporan PAC yang dikeluarkan semalam dan berjanji untuk memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam melaksanakan semua langkah perlu bagi memastikan projek itu siap.
Katanya, mereka akan memberi sokongan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam salah laku dalam projek itu.
Semalam, Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata, Kementerian Pertahanan dan BNS telah mengabaikan pandangan tentera laut mengenai projek itu.
Beliau berkata, tentera laut terlebih dahulu memilih kapal kelas Sigma, reka bentuk Belanda, tetapi perubahan dibuat kepada reka bentuk Gowind yang digunakan Tentera Laut Perancis pada 2011, selepas BNS memberi cadangan kepada menteri pertahanan ketika itu Ahmad Zahid Hamidi.
“Memetik kata-kata panglima tentera laut ketika itu Abdul Aziz Jaafar, ‘ada sesuatu yang sangat tidak kena’ dengan keputusan itu,” kata Wong.
Zahid adalah antara pegawai tertinggi yang dipanggil oleh PAC semasa perbicaraan, begitu juga Menteri Kanan Pertahanan, Hishammuddin Hussein, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Muez Abd Aziz, bekas ketua juruaudit Ambrin Buang, Panglima Tentera Laut Mohd Reza Sany dan ketua pegawai eksekutif dan ketua pegawai operasi BNS.
Hishammuddin semalam berjanji, mereka yang terlibat dalam salah laku projek LCS “tidak akan terlepas dari hukuman”, sambil menambah, PAC mengesyorkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mempercepatkan siasatan dan pendakwaan.