Gelar Sunther ‘orang luar’, ketua Warisan Perak nafi 600 ahli keluar parti

Gelar Sunther ‘orang luar’, ketua Warisan Perak nafi 600 ahli keluar parti

Pada 5 Ogos, jurucakap ahli itu, Murad Abdullah, berkata mereka keluar parti kerana menyifatkan S Sunther sebagai 'orang luar' yang tidak layak menerajui Warisan Perak.

Ketua Warisan Perak S Sunther, berkata hanya segelintir sahaja ahli parti di negeri itu keluar dengan kebanyakan mereka sebenarnya bukan ahli.
PETALING JAYA:
Ketua Warisan Perak S Sunther menafikan dakwaan kononnya terdapat kira-kira 600 ahli daripada lapan bahagian di negeri itu mengisytiharkan keluar parti kerana hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan.

Pada 5 Ogos, jurucakap ahli berkenaan, Murad Abdullah, mendakwa lapan bahagian Warisan Perak bubar kerana tidak berpuas hati dengan pelantikan Sunther yang disifatkan sebagai “orang luar”.

Memetik Sinar Harian, Murad berkata, punca lain 600 ahli Warisan negeri didakwa keluar parti berhubung hala tuju presidennya, Shafie Apdal, ingin bergabung dengan mana-mana parti yang menang pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Dalam pada itu, Sunther berkata, jumlah yang keluar itu sebenarnya bukan ahli parti.

“Kebanyakan mereka bukan ahli, hanya segelintir. Kita pernah bertemu beberapa orang yang dipercayai ketua kumpulan tersebut yang membantu parti mencari ahli baharu tetapi kita tidak pernah memberi jawatan, atau melantik mereka (sebagai ketua cawangan atau bahagian),” katanya menurut Bernama.

Sementara itu, Sunther berkata, Warisan dijangka bertanding di lima kawasan di Perak pada PRU15.

Beliau berkata, bagaimanapun, kawasan yang akan ditandingi sama ada di kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) masih belum diputuskan dan tertakluk kepada perbincangan akhir bersama peringkat negeri dan pusat dalam masa terdekat.

“Penting untuk kita buat analisis kawasan mana yang sesuai untuk ditandingi. Kita tidak mahu apa yang terjadi semasa pilihan raya negeri (PRN) Johor berulang. Kita perlu ada pelan strategik dan buat pemilihan atau keputusan yang betul,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Pada 18 Jun lalu, Shafie ketika menerima borang keahlian parti, di Ipoh, memaklumkan parti itu hanya akan bertanding di kerusi Parlimen dan DUN Perak yang diyakini mampu mencapai kemenangan.

Shafie berkata, Warisan tidak akan bertanding di semua kerusi yang ada dan perlu selektif untuk kerusi yang diyakini boleh dimenangi selain kepimpinan negeri perlu giat memperkuat parti yang setakat ini lima bahagian telah digerakkan sejak tahun lalu iaitu Tambun, Ipoh Barat, Ipoh Timur, Parit serta Padang Rengas.

Sementara itu, di Pulau Pinang, Ketua Penyelaras Warisan di Semenanjung Dr Rajiv Bhanot, berkata Warisan perlu mengambil pendekatan realistik jika parti itu mengambil keputusan bertanding pada PRU15 di Semenanjung.

“Kami mahu bertanding di kerusi strategik yang kami rasa parti mempunyai peluang besar untuk menang. PRU15 juga merupakan detik permulaan parti Warisan di Semenanjung,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.