
Beliau berkata, kementeriannya menerusi JKM telah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap 274 pusat jagaan kanak-kanak kerana melanggar Akta Pusat Jagaan 1993.
“Setakat ini kita telah keluarkan 39 arahan bertulis, 12 disita, sembilan dikompaun, tiga ditutup sementara 210 lagi dibatalkan pendaftarannya manakala satu lagi premis telah didakwa,” katanya pada sidang Dewan Negara.
Bagi taska pula, menurutnya, sebanyak 13 taska tidak berdaftar telah diambil tindakan dengan jumlah kompaun RM38,100 dari 2020 hingga Mei lalu.
Beliau berkata, sehingga kini sebanyak 1,227 pusat jagaan kanak-kanak dan 2,964 taska di seluruh negara telah didaftarkan bawah JKM.
Siti Zailah menjawab pertanyaan Senator Radzi Ahmad yang meminta kerajaan menyatakan jumlah pusat jagaan yang tidak berlesen dan tindakan diambil oleh kementerian.