
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata untuk tempoh sama, kes kematian pula meningkat kepada 60 kes berbanding 49 kes minggu sebelumnya, iaitu peningkatan sebanyak 22.4%.
“Bilangan kes sembuh pada ME 31/2022 menurun sebanyak 7.2% iaitu 30,837 kes kepada 28,604 kes.
“Purata kes aktif setiap hari bagi ME 31/2022 adalah 45,941 iaitu terdapat penurunan sebanyak 2.6% berbanding minggu sebelumnya,” katanya dalam kenyataan situasi semasa jangkitan Covid-19.
Sementara itu, jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital dan pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 (PKRC) awam bagi setiap 100,000 penduduk kekal sebanyak 12 orang bagi ME31/2022.
Dr Noor Hisham berkata pengisian katil unit rawatan rapi (ICU) kekal 14%, katil PKRC menurun sebanyak 2% manakala meningkat sebanyak 2% untuk katil bukan kritikal.
Selain itu, peratusan pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) meningkat sebanyak 0.1% pada ME 31/2022 berbanding ME30/2022.
Beliau berkata kes positif Covid-19 yang dipantau oleh Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh negara pula menunjukkan sedikit penurunan.
“Bilangan kedatangan pesakit ke CAC menurun sebanyak 1.7%, kes baharu yang menjalani pemantauan di rumah menurun sebanyak 1.5% manakala kes yang dirujuk CAC ke PKRC dan hospital menurun sebanyak 20.9%,” katanya.