TPM: Azmin kata ‘kerajaan mesti stabil, adil’, menteri Bersatu tak tahu siapa calon

TPM: Azmin kata ‘kerajaan mesti stabil, adil’, menteri Bersatu tak tahu siapa calon

Saifuddin Abdullah dan Abdul Latiff Ahmad tidak mengetahui laporan mengaitkan Azmin Ali sebagai calon tunggal Bersatu bagi jawatan TPM.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali secara ‘beralas’ mengulas cakap-cakap namanya calon tunggal Bersatu bagi jawatan timbalan perdana menteri.
PETALING JAYA:
Walaupun Azmin Ali dilaporkan calon tunggal Bersatu bagi jawatan timbalan perdana menteri namun ia menimbulkan tanda tanya apabila sekurang-kurangnya dua menteri daripada parti itu membayangkan tidak tahu menahu mengenai pencalonan berkenaan.

Azmin sendiri mengelak daripada mengesahkan laporan itu, sebaliknya hanya berkata beliau mahu “kerajaan stabil dan adil”.

Menteri Luar Saifuddin Abdullah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Abdul Latiff Ahmad, berkata mereka tidak tahu mengenai perkara itu.

Ditanya sama ada pencalonan Azmin itu dibincang dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Latiff memberitahu wartawan: “kami tidak tahu. Kalau tahu, nanti kami beritahu (kepada anda).”

Saifuddin berkata, beliau juga tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung “cakap-cakap” itu walaupun “duduk” bersebelahan Azmin dalam mesyuarat Kabinet.

“Jawapan saya sama sebab dalam Kabinet kami duduk sebelah-menyebelah,” katanya menurut Sinar Harian.

Latiff, Saifuddin dan Azmin adalah ahli MPT Bersatu.

Azmin sendiri mengelak untuk mengesahkan laporan Malaysiakini semalam yang memetik sumber sebagai berkata Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mahukan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob melantik Azmin sebagai timbalannya.

Sebaliknya, menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu hanya mengingatkan bahawa beliau dan rakan-rakannya mewakili Perikatan Nasional (PN) sebagai parti paling besar dalam kerajaan gabungan pimpinan Ismail.

“Saya dan rakan dalam Bersatu dan PN mengambil tanggungjawab memperkukuhkan kerajaan sedia ada, (yang mana ialah sebuah kerajaan) gabungan melibatkan komponen terbesar PN.

“Kerajaan hari ini mesti stabil…adil, kalau tidak stabil atau lemah mana mungkin kita dapat urus dua perkara besar (mencerdaskan ekonomi dan tangani Covid-19) demi kepentingan rakyat,” katanya di Serdang.

Hubungan Ismail dan Bersatu dilaporkan keruh selepas perdana menteri dikatakan belum melayan beberapa tuntutan parti tonggak PN itu, khususnya mengenai pelantikan timbalan perdana menteri daripada Bersatu.

Pemimpin Bersatu mendakwa Ismail memeterai perjanjian dengan Muhyiddin sebagai syarat memperoleh sokongan PN untuk beliau dilantik perdana menteri Ogos tahun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.