
Tertuduh M Raja Gopal, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan kepadanya di depan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang doktor wanita berusia 26 tahun di katil No 25, Wad A-G Nefrologi Blok A, Hospital Melaka dengan niat mencabul kehormatan mangsa.
Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh kira-kira 7.30 malam, 12 Mei lalu.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua hukuman itu mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, menurut Utusan Malaysia.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan, tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dalam apa juga cara.
Peguam P Thisharmini yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya adalah OKU, menghidap kencing manis dan angin ahmar serta menanggung lima anak perempuan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh melapor diri setiap dua minggu di balai polis berhampiran dan menetapkan 26 Sept ini untuk sebutan semula kes.