Terlepas genggaman pelampung, 2 sahabat dikhuatiri lemas

Terlepas genggaman pelampung, 2 sahabat dikhuatiri lemas

Dua mangsa berusia 11 dan 15 tahun yang juga pelajar mandi sebelum terlepas cengkaman pelampung lalu dibawa arus sungai.

Pasukan penyelamat yang terlibat dalam operasi mencari mangsa di Sungai Triang, Bera, Pahang. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Dua sahabat dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Triang berhampiran Pasar Ayam Kerayong, Bera, Pahang, hari ini.

Kedua-dua mangsa berusia 11 dan 15 tahun antara lapan kanak-kanak lelaki yang pergi berenang di sungai itu kira-kira jam 3.30 petang.

Pemangku Ketua Polis Bera N Kumaran berkata, siasatan mendapati kumpulan pelajar lelaki sekolah itu pergi ke sungai yang terletak di belakang pasar basah Kerayong.

“Ada yang berada di tebing sungai, yang lain termasuk dua mangsa berenang ke tengah sungai. Mereka berpegang pada tiub tayar lori untuk terus terapung.

“Kedua-dua kanak-kanak lelaki itu dipercayai hilang cengkaman pada tiub itu sebelum dihanyutkan arus sungai. Rakan mereka menjerit meminta tolong dan memaklumkan kepada beberapa orang yang lalu-lalang,” katanya menurut Harian Metro.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.52 petang sebelum pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Triang bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa itu turut dibantu Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Bukit Angin yang tiba kira-kira sejam kemudian.

“Operasi dijalankan dengan membuat pemantauan di sekitar lokasi kejadian dan tinjauan menerusi pencarian di permukaan sungai dengan menggunakan bot fiber dan bot aluminium bomba,” katanya menurut Bernama.

Operasi yang turut disertai polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) itu ditangguhkan kira-kira jam 7 malam tadi dan bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.